Tahun Baharu Cina, juga dikenali sebagai Perayaan Musim Bunga, disambut dari hari pertama hingga hari kelima pada bulan pertama kalendar Cina. Secara harfiah, orang Cina menganggap perayaan ini untuk “menyambut tahun baharu”, iaitu bermaksud mengusir tahun lama dan menyambut tahun yang baharu. Tahun Baharu Cina merupakan perayaan Cina yang paling penting sepanjang tahun. Dalam sambutan ini, terdapat adat resam dan tradisi yang barkaitan dengan upacara perayaan tahun baharu. Biasanya, pada hari ke-23 atau ke-24 bulan terakhir kalendar Cina, orang Cina akan menyembah Tuhan Dapur dan menghantarnya ke Syurga setahun sekali. Upacara ini menandakan permulaan perayaan Tahun Baharu Cina.


Pada malam Tahun Baharu Cina, keluarga-keluarga Cina menjalankan pembersihan musim bunga yang menandakan penghapusan nasib malang tahun sebelumnya. Selepas gotong-royong, sebuah kek tahun baharu dibuat (kek itu bermaksud “mencapai ketinggian baharu”). Pada hari kedua hingga hari terakhir pada bulan terakhir dalam kalendar Cina, keluarga-keluarga Cina melekat kuplet musim bunga dan cetakan tahun baharu pada pintu dan tingkap mereka untuk membawa tuah. Sempena hari terakhir kalendar Cina, ahli-ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama untuk menikmati makan malam sebelum Tahun Baharu Cina yang dipanggil “berkumpul di sekeliling dapur”, orang dewasa akan memberikan ahli keluarga yang lebih muda, terutamanya kanak-kanak angpau yang berisi dengan wang tunai. Pemberian wang ini dianggap akan membawa aman dan tuah kepada penerima. Kemudiannya, ahli-ahli keluarga akan menjalankan “Shou Sui”, iaitu berjaga pada malam sebelum Tahun Baharu Cina dan menunggu ketibaan tahun baharu, aktiviti ini bermula selepas seisi keluarga selesai makan malam sebelum Tahun Baharu Cina. Sebaik sahaja jam menunjukkan tengah malam, orang ramai akan menyalakan mercun untuk menyambut ketibaan Tahun Baharu.


Aktiviti Tahun Baharu Cina juga merangkumi penziarahan rakan-rakan dan saudara-mara untuk  mengucapkan Selamat Tahun Baharu pada hari pertama Tahun Baru Cina, lawatan ke keluarga isteri dijalankan pada hari kedua, menyambut Dewa Kekayaan pada hari keempat dan memulakan perniagaan pada hari kelima.